Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Syukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia- Nya, kita dapat lagi meneruskan perjuangan yang diamanahkan kepada kita sebagai pendidik dan pembentuk bangsa. Ucapan setinggi-tinggi tahniah dan jutaan terima kasih saya tujukan kepada Jawatankuasa Panitia Kemahiran Hidup SK Bandar Raub yang telah bertungkus lumus untuk menyiapkan laman ini. Laman ini penting sebagai rujukan dan garis panduan kepada guru-guru terutamanya guru Kemahiran Hidup untuk melaksanakan tugas dengan lebih terarah dan berkesan. Insya-Allah.
Kita yang berkhidmat sebagai warga pendidik perlu berpegang kepada prinsip kerja berpasukan (team work) dan berkolaborasi antara satu sama lain sama ada di peringkat panitia, bidang, sekolah, daerah mahupun di peringkat kebangsaan. Visi sepunya (shared-vision) yang kita agung-agungkan perlu direalisasikan. Oleh itu kita perlu bergerak serentak dan senada untuk mencapai matlamat tersebut. Tidak ada kepuasan yang terulung selain melihat anak-anak bangsa yang kita didik berjaya dalam semua aspek: cemerlang dalam akademik, di samping gemilang sahsiah dan budi pekertinya ke arah menjadi insan yang terbilang. Saya amat yakin guru-guru dan kakitangan di sekolah ini berupaya untuk berpadu dan bergerak ke arah gapaian bintang.
Visi yang jelas akan menjadi panduan kepada kita untuk memacu tenaga ke arah melahirkan modal insan kelas pertama. Sebagai warga pendidik kita perlu memberi pendidikan yang berkualiti untuk melahirkan modal insan yang terbilang mengikut aspirasi negara. Kita juga perlu peka kepada NKRA Pendidikan No.3 yang berbunyi, “Objektif yang perlu dicapai adalah memastikan murid mendapat pembelajaran optimum mengikut kemampuan mereka dan dapat memberikan sumbangan berguna kepada masyarakat serta negara hasil persekolahan dan pendidikan yang mereka peroleh”. Sukacita ingin saya memetik kata-kata Menteri Pelajaran, “sebagai guru kita perlu menyumbangkan tenaga tanpa berkira, kerana sekiranya kita berkira Allah juga akan berkira dengan kita”. Oleh itu, marilah kita bekerja dengan seikhlas hati tanpa mengharapkan apa-apa balasan kerana segala keikhlasan dan pengorbanan kita dilihat dan dinilai oleh-Nya. Sesungguhnya, guru-guru SK Bandar Raub, berkudrat dan boleh membuktikan bahawa kita mampu membangun dan melahirkan modal insan yang diingini oleh bangsa dan negara. Marilah sama-sama kita berazam dan mengaplikasikan wawasan negara sepenuhnya bermula dari sekarang. Sekian, terima kasih. Wasallam. |